CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Thursday, September 16, 2010

Kenapa perlu bertakbir di pagi raya??



Satu syawal adalah hari dimana umat Islam seluruh dunia meraikan kemenangan setelah sebulan menjadi pelajar madrasah tarbiyyah Ramadhan. Sepanjang menjadi pelajar, pelbagai pantang larang serta undang-undang yang perlu dipatuhi bagi melayakkan diri mengambil sijil graduasi 1 Syawal.

Mengikut catatan yang muktabar, hari raya yang kita raikan ini telah disyariatkan oleh Islam secara sempurna sejak tahun kedua hijrah Nabi s.a.w. ke Madinah Al-Munawwarah.

Di peringkat awal kedatangan Islam, masyarakat ketika itu sama ada sudah memeluk Islam atau tidak mempunyai hari perayaan dan kebesaran yang dinamakan “nairuuz” dan “mahrajan”. Kedua-dua hari perayaan ini disambut dengan mengadakan majlis suka ria.

Rasulullah s.a.w. sebagai pemimpin agung dan pembawa rahmat sekelian alam tidak mengambil tindakan yang boleh menyinggung perasaan mana-mana pihak untuk mengubah tradisi ini. Baginda sebaliknya melakukan penelitian dan kemudian bersabda ; “Sesungguhnya Allah telah menggantikan dua hari raya itu dengan dua hari raya yang lebih baik dan kedua-duanya itu ialah hari raya Aidilfitri dan hari raya Aidiladha.”

Puasa bulan Ramadhan berakhir setelah mental dan fizikal kita dilatih selama sebulan apabila Aidilfitri menjelang tiba. Pengakhiran ini bermakna bermulalah kembali gelanggang perjuangan yang amat berat untuk mengatasi dan mengendalikan hawa nafsu yang menjadi sumber kebinasaan manusia.

Setelah menjalani ujian dan cubaan sepanjang bulan Ramadhan maka sudah sewajarnya kita menyambut ketibaan hari raya dengan penuh gembira sebagai tanda kemenangan dan kesyukuran.

Bagi orang yang telah berjaya menjalani ujian di bulan Ramadhan, Syawal adalah detik kembali kepada asal fitrah tanpa sebarang dosa dan noda. Oleh sebab itulah apabila fajar Syawal menjelang setiap muslim disunatkan menyiapkan diri pada awal pagi untuk merayakan Aidilfitri dengan gembira tetapi tidaklah berlebihan.

Hari raya disambut dengan membe-sarkan Allah S.W.T. dengan cara mengucap takbir dan tahmid dari malam hari raya hinggalah di pagi Syawal esok harinya sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Pada setiap hariraya umat Islam berikrar:

"Tidak ada Tuhan yang sebenar melainkan Allah. Dan kami tidak sembah melainkan dia dengan penuh ikhlas, bagi Allah sahaja agama, meskipun dibenci oleh orang-orang kafir. Tidak ada Tuhan yang sebenar melainkan Allah dengan keesaanNya. Benarlah janjiNya memberi pertolongan kepada hambaNya dan memberikan kemuliaan serta kemenangan kepada tenteraNya dan membinasakan tentera Ahzab dengan keesaanNya."

Ikrar ini diulang berkali-kali pada malam hariraya, hari raya dan seterusnya hari-hari berikutnya. Marilah kita renungi kembali latarbelakang kepada lafaz-lafaz ini dengan merujuk kepada sirah Rasulallah s.a.w. iaitu Peperangan al-Ahzab atau Peperangan Khandaq yang mempunyai pertalian yang rapat dengan lafaz yang kita ucapkan di setiap awal hariraya ini.

Di dalam peperangan al-Ahzab atau peperangan Khandaq yang berlaku pada tahun 5 hijriyyah di kota Madinah, tentera Islam mengandungi kekuatan seramai 3000 orang manakala tentera bersekutu (yakni tentera Ahzab) mengandungi kekuatan seramai 10000 orang yang terdiri daripada kafir Quraish dibantu pula oleh puak-puak Yahudi dan Arab seperti Bani Nadir, Quraizah dan Bani Wail. Meletusnya peperangan ini disebabkan kuatnya hasrat orang-orang kafir untuk menghapuskan Nabi Muhammad s.a.w. dan para pengikutnya yang terpendam begitu lama. Orang-orang kafir merasa kuat dan sombong selepas kemenangan mereka dalam Peperangan Uhud.

Tentera al-Ahzab mengepung bandar Madinah tetapi cubaan mereka untuk memasuki bandar Madinah gagal. Ada satu kumpulan Yahudi yang pada ketika itu mendiami di dalam kota Madinah iaitu Bani Quraizah. Mereka ini menimbulkan kekacauan dari dalam kota tersebut. Namun demikian tentera-tentera Ahzab ini gagal untuk menguasai kota Madinah selepas hampir sebulan mengepungnya. Ini membuatkan mereka pulang dan berundur tanpa membawa apa-apa kemenangan.

Sebenarnya, beberapa hari sebelum mereka berundur, Allah telah menurunkan para malaikat beserta dengan ribut pasir serta taufan untuk mengucar-kacirkan kedudukan tentera-tentera Ahzab. Hal ini diceritakan oleh Allah di dalam al-Quran:

"Wahai orang-orang yang beriman, ingatlah nikmat Allah yang dikurniakan kepadamu, ketika datang kepadamu tentera-tentera (yakni tentera ahzab), lalu kami kirimkan kepada mereka angin taufan dan tentera yang tidak dapat kamu lihatnya (yakni para malaikat). Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu lakukan".

Dengan pertolongan Allah ini pihak kafir telah jatuh moral dan semangat mereka untuk terus berperang, lalu mereka berundur. Di pihak Islam pula, mereka menghadapi berbagai kesukaran di dalam peperangan ini. Ini diceritakan oleh Allahs.w.t.:

‘Ketikamana mereka datang kepadamu dari atas dan dari bawahmu (yakni dari segenap penjuru) dan ketika tidak tetap lagi penglihatanmu dan hatimu naik sesak sampai ke lubang tenggorokmu dan kamu menyangka terhadap Allah dengan bermacam-macam sangkaan buruk. Disitulah diuji orang-orang Mukmin dan digoncangkan dengan goncangan yang bersangatan."

Sebenarnya ayat ini menggambarkan bagaimana hebatnya perasaan takut dan gementar perasaan umat Islam ketika itu hinggakan ada diantaranya syak yang bukan-bukan terhadap Allah s.w.t.. Ayat ini menegaskan inilah sebenarnya ujian daripada Allah s.w.t.. Dengan adanya Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabatnya, umat Islam dipujuk supaya bersabar, tabah, yakin serta bertawakkal kepada Allah dan akhirnya umat Islam mencapai kemenangan dengan bertempiaran larinya golongan Ahzab setelah datang pertolongan Allah.

Pelbagai Ibrah yang dapat dikutip sebagai pedoman untuk meneruskan perjuangan di muka bumi ALLAH ini.

1)Perlulah berstrategi dan mempunyai perancangan yang rapi dalam kehidupan serta perjuangan dalam era globalisasi yang menuntut ketabahan seorang jundullah.

2)Bertahanlah wahai jundullah! Ujian dan mehnah datangnya daripada ALLAH untuk menguji keimanan hambanya. Allah s.w.t. berfirman dalam Al-Quran "adakah kamu mengira Kami akan membiarkan kamu mengatakan kami beriman sedang kamu tidak diuji?". Teringat kepada kata-kata seorang sahabat, "Allah uji kamu kerana Allah sayang kamu".

3)Takbir Raya sebagai sumber semangat, keyakinan dan kekuatan sesiapa yang berjihad fisabilillah. Pahatilah setiap bait-bait takbir yang kita laungkan setiap kali raya ini dalam hati sanubari masing-masing. Tiupkanlah rohnya dalam semangat dan aspirasi kehidupan kita. Percayalah sesiapa yang menolong agama Allah nescaya Allah akan menolongnya. Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, Allah akan memberikan kepadanya jalan keluar dan rezeki yang tidak disangka.

4)Kita akan sentiasa berhadapan dengan cabaran daripada luar dan dalam sama ada daripada orang-orang kafir, munafiq atau mereka yang pro dengan kedua-dua golongan itu. Kadang-kadang mereka tidak lagi menggunakan senjata api, senjata berat ataupun letupan. Mereka menggunakan senjata penyerangan pemikiran dan gerakan pembaratan pula. Menurut Anwar al-Jundi, serangan cara baru ini telah membenamkan racun berbisa ke dalam jiwa, diri, masyarakat dan negara umat Islam. Pihak penjajah telah berjaya meneggelamkan pengaruh teks-teks karya ulama Islam daripada kurikulum sistem pendidikan dengan cara menguasai sistem pendidikan dan memperkenalkan sistem pendidikan Barat di negara-negara umat Islam. Ini semua adalah perancangan jangkamasa panjang puak Zionis, kolonialis dan komunis. Satu perkara utama yang dibangkitkan oleh Anwar al-Jundi ialah bahawa peperangan pemikiran ini mendapat agenda utama pihak Barat kerana mereka sedar umat Islam masih mempunyai aqidah sebagi sumber kekuatan jihad. Justeru itu peperangan pemikiran ini ditumpukan demi untuk merosakkan aqidah. Apabila tunjang aqidah yang menjadi toggak kepada keimanan rosak, senanglah mereka menyucukkan jarum-jarum suntikan maut mereka ke dalam diri umat Islam.

5)Berhusnuzzhonlah terutama pada Sang Pencipta. Allah s.w.t. tidak akan menurunkan sesuatu itu dengan sia-sia. Pastinya ada hikmah disebalik apa yang berlaku. Firman Allah s.w.t. dalam surah An-Nisa' ayat 79 "Kebajikan apapun yang kamu peroleh, adalah dari sisi Allah, dan keburukan apapun yang menimpamu itu dari (kesalahan) dirimu sendiri. Kami mengutusmu (Muhammad) sebagai rasul kepada (seluruh) manusia. Dan cukuplah Allah menjadi saksi."

6)Segalanya memerlukan bantuan Allah serta biiznillah. Tanpa bantuan dan pertolongan daripada ALLAH, walau siapapun kita diatas muka bumi ini, tiada apalah ang dapat kita lakukan. segala kemenangan yang kita kecapi hari ini adalah datangnya dari bantuan Allah serta izin Allah jua. TanpaNya, tiada apa yang dapat kita rasai hingga saat ini. "Aslahallahu umural muslimin.. moga-moga Allah membaikkan urusan orang-orang Muslim."

Segala kebaikan adalah datangnya daripada Allah dan keburukan itu datangnya daripada manusia itu sendiri. Kekalahan sebenarnya tercetus daripada kelemahan dan kelalaian dalam melaksanakan hakikat ajaran Islam secara sempurna baik dalam tingkahlaku mahu pun peperangan. Perlu diingati bahawa Allah sememangnya berkehendak menolong sesiapa sahaja yang berusaha pada jalan Allah untuk mencapai keredhaan-Nya yang hakiki.

-as-syahid sayyid al-Qutb....

0 comments: